Thursday, 12 July 2012

Dulu-dulu, orang Melayu ni miskin

Ceti juga digambarkan sebagai lelaki India yang berkain putih dan mengelek payung hitam ke hulu ke hilir.


Dulu-dulu, mana ada PNB (1978). Dulu-dulu mana ada ASN (1981). Dulu-dulu, mana ada ASB (1990). Dulu-dulu, mana ada Along Bukit Beruntung (90-an - present). Dulu-dulu, kalau nak pinjam bank - kena ada penjamin, kena letak sandaran - dan, orang Melayu ni tak ada tempat nak bersandar, apatah lagi tempat nak bergantung harap.

Abah nak bina rumah 'haram'. Tapi, macam orang-orang Melayu lain - abah miskin, tak cukup duit, pencen sol-jah berapa sen lah sangat. Mak kata, "Tu la... dulu suruh mintak Felda - tak mau! Kalau tak... kita dah senang dah, dah ada rumah sendiri dah!" Abah campak rokok Gold Leaf ke tanah, putungnya masih berasap, bengganglah tu, konon.

Suatu hari, abah bawa aku pergi makan angin ke Leboh Ampang. Abah masuk ke dalam satu kedai. Di dalam kedai tu ada pangkin-pangkin kayu. Di atas pangkin-pangkin kayu tu ada orang-orang India sedang duduk. Satu pangkin kayu untuk satu orang India duduk. Ada sekitar empat lima orang India di dalam kedai tu. Mereka duduk bersila macam tok pekong!

Abah duduk di atas lantai. Maknanya, abah duduk satu level lebih rendah daripada orang India itu duduk; macam cerita raja-raja dengan panglima zaman dahulukala. Di hadapan mereka ada satu rehal. Di atas rehal tu ada senaskhah buku besar (sebesar buku Panjar Wang Runcit, ha ha). Orang India tu dan abah pun tulis sesuatu di dalam buku besar itu. Dan, selepas itu orang India tu beri abah duit. Abah ambil dan kami pergi makan roti canai. 

Abah kata, "Belen ni nanti abah nak beli beroti, papan, zink, batu blok, simen, paku, ensel, minyak hitam terpakai... abah nak bikin rumah untuk kita!" Aku tercekik. Abah tepuk-tepuk belakang aku. Abah suruh aku makan molek-molek sikit. Lepas tu abah pesan Green Spot satu botol lagi. Aku cakap aku nak tudung botol tu. Sebab di sebelah dalam tudung botol tu ada pelapik getah yang kalau kita kopek - ada lukisan kartun macam-macam.

p/s: walaupun ni bukan cerita aku... tapi yang pasti dulu-dulu, orang Melayu ni miskin

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...