Di dasar hati lara,
bernyanyi sebuah irama tanpa kata-kata, serangkap lagu
tidak berbaris dan bernokhtah, tidak terungkap dengan perkataan
memetik-metik tali irama hati,
meresahkanku kerana kepada siapa untuk aku lagukan lagu ini
kerana tiada siapa untuk mendengarkannya…
dapatkah aku mendesahkannya?
dapatkah aku melarikan diri dari kefanaan ini,
kepada dan untuk siapa untuk aku lagukan irama ini…
ingin aku simpankan ia di relung jiwaku
kerana aku khuatir terhempas
lagu tiada lagi irama ini dalam hatiku…
takala penglihatan batinku tertutup
terlihat bayangan oleh bayangan
kuhulurkan jemariku menyentuhnya
terasa getaran seluruh tubuhku
ku tatap langit malam
kerdipan bintang cemerlang dan gemilang
rembulan seolah tersenyum memandangku
hembusan angin seolah melagukan lagu irama itu
lagu ini digubah oleh kerinduan
lagu ini digubah oleh keriangan
lagu ini digubah oleh keindahan alam
lagu ini digubah oleh rasa cinta yang mendalam
lagu ini digubah oleh mimpi yang tidak berkesudahan
lagu ini digubah oleh keinginan untuk bersama
lagu ini adalah lagu dari lipatan kebenaran
lagu ini mendendangkan sebuah ketulusan
Inilah lagu kasih sayang
inilah lagu rindu dan dendam
semerbaknya harum melangkaui keharuman melur
suara manakah yang mampu untuk menangkapnya
tersembunyi ia bagai rahsia perawan suci
getaran manakah yang mampu untuk menggoyahkannya
inilah lagu hati,
kecintaan kepada Tuhan
Inilah Lagu Tuhan dari jiwa yang fakir….
Kota Bahru: 1999: IPI
No comments:
Post a Comment